Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

16 September 2008

Komen pedas Nik Aziz menghina kawan seperjuangan dalam Ramadhan

Satu negara sudah gempar dengan komen pedas berapi dari Nik Aziz ( Tok Guru PAS ) yang menjadi simpati kepada perjuangan Anwar Ibrahim - terhadap Mustapa Taib yang dihinanya dengan 'lidah umno' di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

Surat bertarikh 11 Ramadhan bermakna hari ke 11 kita menjalani ibadat berpuasa dari makan minum dan juga menghina sesama saudara dan semua larangan Allah lebih utama. Bahkan perintah ini lebih jelas lagi bagi seorang alim di mata penyokong PAS yang memiliki ijazah dan pengalaman mengajar berpuluh puluh tahun sehingga menjadi Mursyidul Am bagi parti PAS.

Semenjak pilihanraya PRU 12 UMNO diumumkan dan semua mengetahui keputusan terburuk telah dicapai oleh Umno/ BN dan keputusan terbaik bagi Pakatan Rakyat, Umno telah digambarkan akan lemah dan karam di bawah Pak Lah. Ketika itu dengan hidung kembang kempisnya ramai termasuk pemimpin PAS juga mengatakan demikian dengan nada yang sama dan serupa.

Mereka akhirnya tidak sedar ketika bagaimana 'nikmat kemenangan ' tersebut tidak diperolehi dengan 'halal' akhirnya mengeruhkan 'rohani' PAS. Bagaimana boleh halal jika dulu dikatakan haram apabila Umno berkongsi dengan parti bukan Islam ? Apatah lagi dengan bersekongkol dengan parti kuat kecinaannya yang sering mengutuk Umno dengan sifat ultra kemelayuannya, namun kegagalan Islam diterima oleh DAP secara perbuatan dan percakapan serta iktikad jelas menjadikan PAS serba salah.

Hinggalah ia dilembutkan oleh Anwar selaku pemimpin de facto Pakatan Rakyat yang dijangka menjadi PM hari ini ( meskipun sudah ditangguhkan 2 minggu lagi atas alasan beri peluang Pak Lah berundur dengan baik ) namun ia diterima separuh 'peminat Anwar ' sahaja, bukan orang lama seperti Hj Hadi, Haron Din , Mustafa Taib , Nasaruddin Mat Isa dan lain lain.

Apabila keadaan tidak tenteram dan maruah Islam seolah olah ditekan maka PAS bermuzakarah lah dengan Pak Lah dan ditentang oleh Mursyidul Am di atas. Katanya dia tak dapat menerima perundingan dengan Umno yang dirasakannya lebih jahat dari DAP. Mungkin kerana Lim Guan Eng memuja Umar Abd Aziz dalam ucapannya ? atau kerana ada hasutan dan pendapat bernas orang kanan beliau yang saban hari ber 'mimpi laksana mat jenin' menjadi menteri dalam Kabinet Malaysia di bawah Anwar nanti ?

Semua sudah maklum golongan atau orang itu. Mereka sebenarnya bekas pengikut Anwar dan telah 'diserap' masuk ke dalam PAS. Akhirnya 'bidak' tadi telah mara dan menjadi golongan yang hampir menjadi pemimpin tertinggi di dalam PAS. Mereka digelar golongan Erdogan yang terpesona dengan janji janji manis lagi hebat Anwar ingin menjadi Kerajaan hari ini.Lebih tepat lagi kumpulan JIM yang mana dianggotai sama oleh dua anak Nik Aziz juga.

Akhir kepada episod ini ialah komen pedas Nik Aziz terhadap Mustafa Taib secara terbuka dan ia sangat dikesalkan ramai pihak termasuk Datuk Kamarudin Jaafar selaku Setiausaha Agung PAS ( bekas kawan baik Anwar ) yang meminta ia ditarik semula... Akhirnya posting artikel tersebut telah dibuang dari blog asalnya ( klik sini ) namun saya sempat mendapatkannya dari blog Jentayu ( klik sini ) dan ada juga disiar ( di sini ) .

baca dan sungguh pelik sekali kenyataan tersebut seolah olah ia sebuah skrip yang ditandatangani oleh Nik Aziz atau kata kata yang ditambah tambah oleh Anual Bakri ( penulis kenyataan ini ). Adakah sesuatu telah berlaku pada otak yang menyimpan ingatan beliau sekarang kerana terlalu tua hingga menjadi sangat nyanyuk dan sensitif atau ?

Bacalah di bawah ini kenyataan tersebut yang diambil dari blog ini

http://mudin001.com/2008/09/14/apa-khabar-mustafa-ali/




RAKYAT TERENGGANU SALAH PILIH PESURUHJAYA

1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskanoleh Muktamar secara “standing ovation”.

3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Bertarikh : 11 Ramadhan 1429 11 September 2008.



Sekarang ini adakah PAS akan 'karam' lebih dahulu atau Umno ??? yang jelas PKR semakin kuat dan DAP semakin mantap.

Adakah PAS menjadi korban untuk Maharaja Anwar untuk masa depan PKR ?

Allah A'lam

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya dah baca satu kenyataan yang kununnya ditulis oleh TGNA yang membelasah Dato Mustafa Ali berkenaan kenyataan beliau yang tidak percaya perubahan kuasa akan berlaku pada 16 September, 2008.

Saya tak percaya itu adalah tulisan TGNA ataupun kenyataan yang keluar dari isi hati dan lidah beliau. TGNA yang kita semua kenal tidak pernah menyerang peribadi seseorang secara terbuka lebih-lebih lagi sesama pimpinan PAS. TGNA yang kita semua kenal tidak pernah lekang mulutnya dan kenyataannya dari menyebut ayat-ayat suci Al-Quran atau AlHadis sebagai sandaran.

Saya percaya Husam Musa dan/atau team erdogannya berperanan besar untuk mengeluarkan kenyataan tersebut….samada disedari oleh TGNA ataupun tidak. Mana mungkin TGNA menyebut perkataan “Standing Ovation” dalam kenyataannya. Lebih-lebih lagi fakta yang kununnya Muktamar memutuskan untuk mengukuhkan pakatan rakyat secara “standing ovation” adalah tidak tepat sama sekali.

Dato’ Pa tidak pernah melanggar keputusan syura. Yang melanggar keputusan syura ialah Husam Musa, Dato’ KJ + geng erdogannya dan termasuk TGNA sendiri. Semua perwakilan dalam Muktamar sedar bahawa TGNA tidak mengikut ketetapan syura apabila beliau terang-terang tidak setuju muzakarah/muqabalah dengan UMNO diteruskan walaupun telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulama. Dah la dia dipaksa untuk bercakap bagi membahaskan usul (tidak pernah berlaku dalam sejarah muktamar Musyidul Am terpaksa bangun berucap untuk membahaskan usul semata-mata dan selepas itu terus balik), ucapannya pulak yang lebih banyak berkisar tentang kebobrokan UMNO dan tidak perlunya diadakan apa-apa rundingan/kerjasama dengan mereka. Dan yang menyedihkan ialah pandangannya itu diberikan tanpa berdasarkan apa-apa hujah atau nas dari Al-Quran mahupun AlHadis. Kalau Majlis Syura membuat keputusan berdasarkan kepada hujjah dan nas, kenapa TGNA tidak memberikan sebarang nas untuk menolak atau tidak bersetuju dengan keputusan syura tersebut?

Kemudian kenyataan yang kununnya dari TGNA tersebut menyebut “Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno.” Takkanlah bila Dato’ Pa suarakan pandangan peribadinya terhadap temberang Anwar terus nak dicap sebagai lidah UMNO? (”temberang” kerana confirm kerajaan tak bertukar pada 16 Sept). Takkanlah TGNA sebagai seorang musyid tergamak nak tuduh pimpinan PAS sendiri macam tu. Takkanlah TGNA sebagai seorang mursyid tidak boleh terus mengubungi Dato’ Pa dan tanya beliau sendiri tentang maksud kenyataannya tersebut tanpa perlu menyerang peribadi beliau secara terbuka. (Kalau antihusam yang buat takpa la juga…sebab saya bukan tok guru).

Disebut juga bahawa Trengganu tersalah pilih Pesuruhjaya. Siapa yang pilih pesuruhjaya ni? Bukan rakyat Trengganu yang pilih dan bukan PAS Trengganu yang pilih..tapi dipilih oleh Presiden dengan persetujuan AJK PAS Pusat. Takkan TGNA tak tahu prosedur?? Jangan nanti orang kata PAS tersalah pilih Mursyidul Am pulak.

Dan diperenggan terakhir kenyataan tersebut telah disebutkan tentang keluarnya Dato’ Asri sebagai presiden PAS ketika itu kedalam UMNO. Apa motif kenyataan ini? Kalau TGNA ada masalah dengan Tuan Guru Presiden, hubungilah beliau dan berbincanglah secara ilmiah dan ukhuwwah Islamiyah… jangan mendengar dakyah Husam dan gengnya semata-mata yang hanya mahu melihat kepimpinan ulama PAS bertelagah sesama sendiri.

Kalaulah betul keseluruhan tulisan itu adalah terbit dari isi hati dan lidah TGNA sendiri…saya hanya mampu bersedih dan kecewa dengan perubahan yang telah berlaku ke atas tok guru yang kita sayangi. Sedarlah bahawa tok guru telah cuba dibawa masuk kedalam perangkap yang dipasang oleh Husam. Kesimpulannya, Anwar punya mainan dan jarum liberalnya secara senyap telah berjaya masuk ke dalam PAS melalui Husam Musa dan team erdogannya. Dia hanya tersenyum melihat pimpinan Ulama PAS bertelagah sesama sendiri. Semoga Tuan Guru Presiden dapat berbuat sesuatu sebelum terlambat.

Dicuplik dari : Blog Anti Husam
( http://antihusam.blogspot.com/ )

abe MIE 'TERJAH' berkata...

http://pkrpasdap.blogspot.com

biasalah...bulan puasa nie. makan tak, minum tak..kemaruk jadinya.

kita pun kemaruk tapi kemaruk nak makan aje..lepas makan tidur.

diaorang kemaruk nak kuasa...dulu kata mahathir gila kuasa..sekrang?

azlishukri berkata...

siasat dahulu, saya juga syak yang bukan2

Tai berkata...

Aha, aku mai dah.

DSAI ni, orang tua ni memang pandai. Dia sangat pandai. Sampai keluarga aku bulat-bulat caya kat dia. Kak aku saja aku kata toksah dok caya orang tua ni. perosak bangsa. Dia cuba nak pelaga keharmonian kaum kat negara kita. ahaya o orang tua ni.
http://www.sedinginsalju.blogspot.com/

Tanpa Nama berkata...

Abad Kedua Mahathir Permain Tengku Razaleigh

ADA beberapa email dan SMS untuk bertanyakan saya benarkan Mahathir Mohamad sedia sokong Tengku Razaleigh Hamzah untuk jadi Pesiden Umno? Pertanyaan itu timbul apabila tersebar berlaku pertemuan antara Mahathir dengan Tengku Razaleigh bersama beberapa bekas pemimpin yang lain.

Pertanyaan itu meminta pandangan saya sejauh mana kebenaran terhadap tanggapan demikian?
Mudah saya katakan, Mahathir tidak akan menyokong Razaleigh. Kalau beliau dilihat menyokong Razaleigh sehari dua ini hanya sekejap saja. Sokongan itu adalah sandiwara saja yang diprogramkan begitu rupa! Sokongan itu tidak akan sampai ke dasar hati.

Sebabnya mudah juga, kerana Mahathir tidak mahukan kepada Razaleigh jadi Presiden Umno dan Perdana Menteri. Buktiknya kalau Mahathir nahukan Razaleigh sudah lama dia lantik bekas Menteri Kewangan itu (sebelum dia lantik Abdullah jadi timbalan perdana menteri) lagi. Tetapi mengapa beliau tidak berbuat begitu sedangkan dia tahu ketokohan Razaleigh jauh lebih hebat berbanding dengan ketokohan Abdullah.

Mahathir ada sebab dan alasan sendiri kenapa dia tidak mahukan Razaleigh. Salah satu dan ini pokok pangkalnya kerana Razaleigh anak raja. Mahathir sebagai penganut fahaman sosialis sangat anti kepada golongan bangasawan dan sistem feudal. Buktinya siapakah yang menghakiskan kuasa raja-raja Melayu kalau tidak Mahathir?

Mahathir telah mencampakkan raja Melayu ke dalam longkang pada tahun 1983 dan 1986 sewaktu gerakan meminda perlembagaan bagi mengurangkan imuniti raja-raja. Semua keaiban raja didedahkan pada era Mahathir memerintah.
Dalam hisab siasah Mahathir kalau Razaleigh menjadi PM bermakna kuasa raja akan subur kembali sedangkan dalam hati kecil Mahathir kalau boleh raja perlu ditiadakan terus lagi bagus. Satu masa dulu Mahathir pernah dikaitkan ingin menggantikan pemerintah demokrasi beraja kepada demokrasi berpresiden.
Berdasarkan hakikat itu Mahathir tidak ikhlas akan sokong Razaleigh. Kecualilah Razaleigh memberi jaminan bertulis kalau anak raja itu jadi PM dia harus mengambil Mukhriz bin Mahathir menjadi timbalannya. Siapakah Mukhriz ini?

Jadi perjumpaan mereka bukan boleh dianggap sebagai persefahaman baru. Perisitwa Razaleigh hampir mengalahkan Mahathir tahun 1987 dengan kurang 53 undi untuk jawatan Presiden Umno menyebabkan Mahathir tidak akan merelakan Razaleigh menjadi PM, tetapi dalam pada itu tidak cuba memutuskan perhubungan sahabat mereka. Namun dalam diam Mahathir tetap akan menghalangnya.

Perjumpaan dan persefahaman yang dikatakan membuka cerita baru itu adalah atas dasar sahabat sahaja. Razaleigh seorang manusia yang sangat menghormati sahabat dan setia dalam persahabatan. Dalam hal ini kalau Mahathir jinak dengan Razaleigh beliau ingin menggunakan Razaleigh untuk kepentingannya saja bagi menggerakan gelombang menjatuhkan Abdullah.
Kalau Abdullah jatuh yang naiknya nanti ialah buah hati Mahathir, Najib Razak.

Siapa kata Mahathir benar-benar marah kepada Najib? Mahatir tidak marah kepada Najib. Yang berlaku hanya dia kesal kerana Najib lambat bertindak untuk mengoncangkan Abdullah agar turun dari kerusinya. Dan kini setelah Najib merasakan kabus politiknya mulai hitam baru berani menunjukkan belang untuk melawan Abdullah.

Orang paling gembira kini ialah Mahathir. Sebab ayamnya (Najib) sudah mengembang bulu dan berkokok untuk melawan Abdullah.

Apabila Razaleigh nampak jinak kerana inginkan sokongan Mahathir buat-buat sokong Razaleigh dan ini menyebabkan penyokong Razaleigh jadi kembang hidung tidak menentu. Walhal tujuannya untuk gunakan Razaleigh bagi kemudahaan Najib saja.

Dalam pakatan baru ini saya nampak ada Sanusi Junid? Siapa Sanusi Junid? Dia adalah pencinta kepada Mahathir buat selama-lamanya. Mahathir bagi Sanusi samalah ular tedong dengan bobon. Ular sakit dia ubatkan, bobon sakit ular ubatkan! Kalau dalam wayang kulit macam Samad dengan Wak Yah….

Sanusi Junid juga bekerja untuk Najib Razak. Saya percaya kerja dan usaha Sanusi bukan untuk apa-apa tetapi sekadar untuk memuaskan hatinya saja. Sanusi begitu cemburu dan sakit hati dengan Abdulah. Bukan kerana kebodohan dan kelembekan Abdullah tetapi kerana Abdullah diangkat Tuhan menjadi PM sedangkan Sanusi yang perasaan dia jauh lebih hebat daripada Abdullah hanya setakat jadi Menteri Besar Kedah saja.

Sanusi Junid boleh baca kalau Abdullah kekal tercokol dalam Umno ia memberi kemudahan kepada Anwar Ibrahim untuk merangkak jadi PM. Abdullah dalam perhitungan Sanusi senang dijatuhkan Anwar. Kalau Abdullah jatuh sebelum Najib naik, maka Anwar akan jadi PM dan Umno akan tertimbus sampai ke leher. Sanusi pula begitu alergik kepada Anwar Ibrahim!

Jadi pembukaan hubungan diplomatik baru antara Mahathir dengan Razaleigh yang turut sama melibatkan Muhyiddin Yassin dan mulai dipasarkan dalam gudang politik kini bukan untuk membantu Razaleigh menjadi perdana menteri. Orang dan penyokong Razaleigh jangan mudah tersihir dengan sandiwara ini kelak mengigit jari sendiri.

Dalam hal ini Razaleigh hanya dijadiakan alat saja. Bila Razaleigh dan ekornya menyokong Mahathir maka akan kelihatan besarlah arus dan gelombang untuk menghanyutkan Abdullah. Itulah yang mahu dicapturekan oleh Mahathir.

Peringatan kepada Razaleigh kalau beliau percaya kepada penampilan baru Mahathir dan kecek-kecek beliau akan disokong, ahli Parlimen Gua Musang itu akan kecewa sekali lagi. Umpama pemburu malang yang memasang jerat untuk menangkap mangsa; jerat akan bingkas tetapi mangsa terlepas.

Kepada mereka yang bertanyakan hal ini kepada saya, itulah jawaban dan ulasan saya. Dalam kancah politik ini Razaleigh tetap menjadi lebai malang untuk kesekian kalinya selepas beberapa kali dijadikan Lebai Malang oleh Mahathir dari abad ke 20 di tahun 80an, 90an hinggalah ke abad ke 21, tahun 2008 ini. [wm.kl 12:00 t/malam 15/09/08]

Oleh : Sayuti Omar
http://msomelayu.blogspot.com/2008/09/ulasan-isu_14.html

Dibawa khas :
Penulis Cyber
http://beritamalaysiakini.wordpress.com

Cari Blog Ini

Translate