KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi setakat ini berjaya menghubungi lebih 7,000 daripada 11,319 pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir dan kesemua mereka kini berada dalam keadaan selamat serta terkawal.
Menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, baki pelajar lain yang tidak dapat dihubungi merupakan pelajar dalam bidang pengajian Islam dan tinggal di Mesir antara lima dan lapan tahun.
"Kita tidak dapat menghubungi mereka kerana kebanyakan mereka tidak berdaftar... yang pelajar perubatan kita tahu kerana sebahagian besarnya ditaja," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Biasiswa Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini Rabu.
Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa dan keluarga para pelajar supaya menghubungi pegawai-pegawai kementerian untuk membantu usaha menyelamatkan anak-anak mereka.
Mereka boleh menghubungi Pemangku Ketua Pegarah Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia Prof Dr Rujhan Mustafa melalui talian 019-270 8222, Pengarah Bahagian Pemasaran Pendidikan Dr Syed Alwee Shekh Alsagoff (019-752 0672) dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Jabatan Penuntut Malaysia di talian 012-931 6172.
"Kalau mereka ingin balik ke Malaysia, proses pemindahan tersebut boleh kita lakukan... asalkan mereka rakyat Malaysia, akan tertakluk kepada pemindahan," katanya.
Abdul Khaled berkata operasi menyelamat pelajar-pelajar tersebut melalui laluan udara dan laut akan dilakukan secepat mungkin di mana mereka akan dibawa ke Jeddah untuk sementara waktu bagi mendapatkan perlindungan yang lebih selamat sebelum dibawa balik ke Malaysia.
Selain itu, katanya Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) Kaherah telah memulakan usaha penempatan para pelajar Malaysia dalam kumpulan yang lebih besar di beberapa tempat utama, termasuk di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah serta beberapa rumah negeri yang terdapat di sana.
"Ketika berada di luar arahan perintah berkurung, pegawai-pegawai JPM Kaherah akan mengadakan kunjungan ke rumah-rumah pelajar Malaysia di sana bagi meninjau keadaan serta situasi pelajar Malaysia yang lain," katanya.
Beliau berkata nasihat serta siaran hebahan keselamatan telah diberi kepada semua pelajar agar mereka sentiasa dan dapat mematuhi arahan keselamatan, termasuk arahan perintah berkurung pada masa-masa yang ditetapkan.
"Semua pelajar Malaysia juga dinasihatkan agar dapat membuat persediaan penyimpanan makanan yang secukupnya bagi menghadapi saat-saat sukar di sana," katanya.
Sementara itu pada majlis tersebut, Khaled berkata biasiswa Endowmen UTM telah disasarkan melebihi RM1 bilion menjelang tahun 2025.
"Biasiswa ini diwujudkan untuk membiayai projek-projek penyelidikan, menyediakan biasiswa bagi pemohon yang memenuhi syarat, atau untuk menyalurkan bantuan kepada individu dalam bentuk kewangan," katanya.
Cara itu, katanya, akan dapat mengurangkan bebanan kerajaan bagi menyediakan dana pinjaman kepada mahasiswa yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.
BERNAMA
Sent from my iPad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan