Datuk Seri Mustapa Mohamed
Datuk Seri Mustapa Mohamed
KOTA BHARU - Pertambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menterjemahkan kejayaan slogan Gelombang Merah yang dilancar Barisan Nasional (BN) Kelantan sebelum ini.
Slogan itu bukan sahaja membuktikan manifestasi kehendak rakyat Kelantan untuk berubah tetapi ia juga sebenarnya memberi makna besar terhadap kegagalan kerajaan Pas Kelantan dalam membangunkan negeri itu sejak memerintah pada 1990.
Pada PRU13 Ahad lepas, BN Kelantan menguasai lima kerusi Parlimen (Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Ketereh dan Machang)  dan 12 Dun (Bukit Bunga, Ayer Lanas, Kuala Balah, Galas, Nenggiri, Paloh, Dabong, Semerak, Selising, Kelaboran, Manek Urai dan Kok Lanas) berbanding PRU terdahulu iaitu hanya menang dua kerusi Parlimen dan enam Dun.
Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata rakyat Kelantan sebenarnya mahukan perubahan dan yakin dengan usaha yang akan dilakukan pihaknya  dalam membangunkan negeri itu dan membela nasib mereka.
"Slogan Gelombang Merah ini masih relevan dan ini akan berterusan berdasarkan sokongan yang kami rasakan agak besar terhadap BN pada PRU13 ini," katanya.
Beliau berkata hasil 'post mortem' di peringkat awal yang dilakukan oleh BN mendapati sokongan pengundi luar yang pulang mengundi telah mengubah keadaan yang pada mulanya berpihak kepada BN.
"Pengundi luar ini sebenarnya penentu kejayaan kepada BN atau kepada Pas namun apa yang berlaku pada pilihan raya kali ini pengundi luar masih tidak berpihak kepada BN walaupun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk bertemu mereka sebelum ini," katanya.
Mustapa yang menang kerusi Parlimen Jeli dan Dun Ayer Lanas mengakui apa yang dilakukan BN bagi menarik sokongan pengundi luar terutama golongan muda masih tidak memadai.
"Mereka sebenarnya kurang arif dengan apa yang berlaku di Kelantan dan mungkin maklumat yang diterima mereka masih kurang dan BN perlu lakukan sesuatu bagaimana untuk mengubah keadaan itu pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memilih BN, beliau berjanji BN akan kembali bangkit dan tidak akan sama sekali meminggirkan rakyat negeri itu dalam banyak aspek terutama pembangunan.
Mustapa berkata BN Kelantan juga akan mencari seberapa ramai pelapis muda yang boleh diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.
"Calon ini nanti terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang dan diterima rakyat," katanya.
Selain itu Mustapa berkata cara pendekatan lama yang masih diguna Umno akan ditransformasi bagi memberikan semula keyakinan masyarakat terhadap parti itu.
Menyentuh mengenai manifesto Mustapa berkata BN tetap akan melaksanakan segala aku janji dalam manifestonya terutama tujuh janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Kelantan.
Tiga daripadanya telah pun bermula iaitu pembinaan lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai, pembinaan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Rapidkb.
Penganalisis politik Datuk Hasan Harun berkata sokongan terhadap BN Kelantan itu sebenarnya banyak menunjukkan kemajuan dan BN tidak perlu khuatir kononnya tidak mendapat sokongan rakyat negeri itu.
"Kita sudah berjaya menyekat pengaruh Pas dan melemahkan mereka pada PRU kali ini. Cumanya yang menjadi masalah ialah generasi Y yang bekerja di luar Kelantan yang masih tidak memberikan sokongan terhadap BN Kelantan," katanya. - Bernama