Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

08 November 2013

BERNAMA - Ummu Jah Dan 17 Pengikut Mengaku Bersalah Hidupkan Semula Ajaran Al-Arqam


KUANG, 7 Nov (Bernama) -- Balu pengasas pertubuhan Al-Arqam, Hatijah Aam atau Ummu Jah bersama 17 pengikutnya hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di sini kerana menghidupkan semula ajaran Al-Arqam yang diharamkan.

Hakim Syarie Kamarulzaman Ali melepaskan kesemua mereka dengan bon berkelakuan baik selama setahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu dengan melanggar arahan mufti yang mengharamkan ajaran berkenaan pada 1994.

Beliau turut mengenakan dua syarat iaitu kesemua tertuduh tidak melibatkan diri dengan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan ajaran Al-Arqam dan yang melanggar hukum syarak.

Selain itu, mereka juga perlu mengikuti kursus pemulihan akhlak yang diselia Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selama 500 jam.

Mahkamah turut mengenakan denda RM1,000 atau 14 hari penjara jika gagal membayar denda terhadap Ummu Jah selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan menerbitkan buku yang bertentangan dengan hukum syarak.

Kamarulzaman ketika membuat keputusan itu berkata pengakuan bersalah kesemua tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah dan proses pendakwaan.

"Rasa penyesalan dan tekad untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama bukan perlu disebut, sebaliknya perlu ditunjukkan dan peluang masih ada untuk memperbaiki diri selagi kita bernafas.

"Setiap manusia tidak pernah lari daripada berbuat silap dan orang yang mendengar taubat seseorang itu perlu bersangka baik dan jangan bersikap prejudis," katanya.

Kamarulzaman juga berkata mahkamah berpendapat hukuman denda dan penjara bukan jalan penyelesaian terbaik untuk menghukum seseorang.

Mengikut pertuduhan, Ummu Jah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd untuk menghidupkan kembali ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam melalui syarikatnya yang mana ia melanggar fatwa mufti yang diwartakan pada 21 Dis 2006.

Sementara itu, 17 pengikutnya yang terdiri daripada pemimpin kanan pertubuhan itu yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 58 tahun didakwa menjadi pengikut syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd melalui syarikat Global yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam.

Ummu Jah dan pengikutnya yang terdiri daripada tujuh lelaki dan 10 wanita yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan kesalahan itu di No. 316, Jalan Desa 9/6, Bandar Country Homes, Rawang dekat sini 1 Jan 2008 hingga 15 Mei, tahun ini.

Ummu Jah juga didakwa menerbitkan buku bertajuk '45 tahun 1968-2013 Perjuangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi yang kandungannya bertentangan dengan hukum syarak di tempat sama, tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1955 dan Seksyen 16(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pendakwa Syarie Mohamad Rafizan Ahmad Supian berkata kesalahan yang dilakukan kesemua tertuduh itu perlu dicegah dan alasan mereka tidak faham dan jahil mengenai sesuatu fatwa itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka melakukan kesalahan.

Mohamad Rafizan juga mencadangkan kepada mahkamah supaya menjatuhkan satu bentuk hukuman lain selain denda dan penjara yang dirasakan sesuai bagi membentuk akidah kesemua tertuduh kerana hubungan dengan Allah akan terhalang sekiranya rosak akidah.

Ummu Jah bersama-sama pengikutnya ditangkap oleh pegawai penguat kuasa Agama Jais di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Jeddah Mei lepas.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v7/newsindex.php?id=991543

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate