Pengikut Blog Panglima

17 Januari 2014

Kajian UIAM : Kalimah Allah tiada dalam kitab sebelum Islam @Drraisyatim

Kalimah Allah tiada dalam kitab sebelum Islam

RAIS Yatim (dua dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian peserta pada sambutan Maulidur Rasul peringkat kariah Masjid Jami'il Huda, Kampung Melayu Ampang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Terjemahan Allah sebagai tuhan di dalam kitab Bible adalah perkara palsu atau bidaah dalam ajaran agama Kristian kerana kalimah itu tidak pernah terkandung dalam mana-mana Bible sama ada versi King James atau Perjanjian Lama dan Perjanjian Baharu.

Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, kajian penyelidik UIAM juga mendapati kalimah Allah tidak ada dalam dua lagi kitab pra-Islam iaitu Zabur dan Taurat, tetapi hanya disebut di dalam al-Quran.

Beliau yang juga Penasihat Kerajaan dalam hal ehwal sosial dan budaya berkata, apabila Pengarang The Herald, Lawrence Andrew menyatakan bahawa mereka berhak untuk menggunakan istilah itu kerana terjemahan kitab Bible pada 1641 atau 1822 mengandung kalimah Allah, itu semua adalah permainan mereka.

"Mengikut penyelidikan yang dibuat oleh rakan-rakan di UIAM, kitab Bible yang diterjemahkan itu adalah yang dipaksa oleh pemerintah British pada masa itu untuk menarik orang Melayu dan Islam di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Indonesia dan sebahagian dari Burma (kini Myanmar) dan India kepada ajaran di dalam Bible," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat kariah Masjid Jami'il Huda, Kampung Melayu Ampang yang dihadiri lebih 1,000 orang penduduk dekat sini hari ini.

Menurut Rais, usaha pihak Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu jelas adalah satu muslihat untuk mengkucar-kacirkan pemikiran dan akidah umat Islam di rantau ini.

"Kenapa pihak Kristian tidak menggunakan istilah tuhan di dalam bahasa Ibrani dan Aramaic pra-Islam seperti YahwehElohimEloiJehovah dan Yeshua dalam terjemahan Bible mereka?

"Ini kerana mereka mahu menggugat akidah umat Islam di Malaysia dan Indonesia yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rais yang merupakan pakar perlembagaan turut menegaskan, Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 memberikan pihak berkuasa negeri menggunakan kuasa tanpa waran untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak menggunakan 26 istilah yang dilarang.

Menurut beliau, tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengembalikan kembali semua kitab Bible yang dirampas menunjukkan satu kejahilan dan pendirian tidak bermaruah yang menyalahi seksyen itu.

"Arahan ini menunjukkan beliau bersubahat dengan pihak yang menyalahi undang-undang, apatah lagi dengan tuntutan kita untuk mengukuhkan kalimah Allah," katanya.

Beliau juga meminta supaya hanya hakim beragama Islam dibenarkan untuk mendengar mana-mana kes melibatkan isu Islam di mahkamah kerana mereka lebih faham kaedah dan prosedur berkaitan tuntutan asas Islam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140115/dn_15/Kalimah-Allah-tiada-dalam-kitab-sebelum-Islam#ixzz2qcPwnEbs 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Catat Ulasan