Tahun Kuda 2014: Menyalakan Obor Harapan
Januari 29th, 2014 by Najib Razak
Hari paling bermakna dalam kalendar lunar Cina, bakal tiba membawa harapan untuk tahun baru yang lebih cemerlang. Di kesempatan ini, saya mengucapkan Gong Xi Fa Chai kepada semua rakyat Malaysia yang berketurunan Cina.
Menelusuri waktu-waktu sebegini, adalah imperatif untuk kita mengimbau kembali satu tahun yang baru saja berlalu dan mensyukuri nikmat yang telah kita kecapi selama ini. Walaupun kita telah banyak mencapai progres dalam program transformasi, perjalanan kita masih jauh dan banyak lagi yang perlu dicapai. Program transformasi sesungguhnya memerlukan sokongan dari segenap lapisan masyarakat – terutamanya dari komuniti kaum Cina yang terkenal mahir dalam bidang keusahawanan.
Selagi kita masih membincangkan perkara yang sama, wujud pelbagai inisiatif yang sedang diusahakan demi meningkatkan taraf kehidupan kita. Antaranya, sebagai contoh, program berterusan seperti BR1M, KR1M, Ops Harga dan banyak lagi untuk membantu mengurangkan kesan tekanan inflasi global. Terdapat juga mesyuarat perundingan dan perbincangan yang memberi fokus untuk menangani isu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat. Segala usaha kita akan berkecai sekiranya tidak ditunjangi dengan sokongan dari anda semua. Kita mesti kekal berdaya tahan dalam menempuhi cabaran ekonomi untuk mengekalkan kestabilan dan kemajuan demi generasi masa akan datang.
Ketika kita bergembira menyambut kedatangan tahun kuda, kita juga perlu sentiasa mendukung perpaduan dan keharmonian antara kaum yang telah kita nikmati selama ini. Kita mempunyai tanggungjawab terhadap negara untuk menolak sebarang bentuk ugutan, keganasan atau tindakan ekstrim yang bisa menggugat keharmonian yang selama ini telah kita kongsi dan nikmati di Malaysia.
Saya pasti kita sepatutnya percaya kepada suara kebenaran. Tergalas di bahu kita untuk bertindak dengan wajar dan sentiasa mendengar pandangan antara satu sama lain. Dalam rumpun kebudayaan Malaysia, kita mestilah menjunjung kedaulatan undang-undang dan sentiasa menghormati sensitiviti anutan lain.
Sehingga hari ini, saya amat menghargai peranan yang telah dimainkan oleh masyarakat Cina Malaysia dalam membina negara sejak zaman merdeka lagi.
Dari Putrajaya ke seluruh Malaysia, saya mengucapkan selamat Tahun Baru Cina kepada semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan