Landskap politik negara berubah jika berlaku kejutan di Permatang Pauh
17 April 2015 3:41 PM
BUKIT MERTAJAM 17 April - Landskap politik di Pulau Pinang dan negara akan berubah sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya melakukan kejutan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh 7 Mei ini, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, berdasarkan komitmen dan kesepaduan yang ditunjukkan UMNO negeri dan bahagian, BN yakin pilihan raya kecil Permatang Pauh kali ini akan menghasilkan satu kejutan.
"Keyakinan itu ditambah hasil kaji selidik yang kami lakukan, didapati rakyat telah jemu dengan apa yang mereka alami selama ini...bukan hanya dalam soal pembangunan tetapi mereka mula merasakan bahawa perubahan harus dilakukan.
"Mereka mahu supaya cita rasa yang baharu ini dapat mengubah landskap politik di Permatang Pauh," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama anggota jawatankuasa bahagian empat peringkat di Wisma Transformasi di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata jika jentera pilihan raya BN yang dibentuk itu berjalan dengan baik, isu sabotaj tidak akan timbul walau siapapun calon yang akan dipilih pucuk pimpinan BN untuk pilihan raya kecil itu.
"Calon BN untuk pilihan raya itu akan dipilih dalam kalangan kepimpinan UMNO yang ada sekarang di Permatang Pauh...calon yang disukai ramai, yang boleh menang.
"Ketua (UMNO) bahagian (Permatang Pauh) telah menyatakan siapa sahaja yang akan diumumkan sebagai calon, maka baiah kita, aku janji kita (ialah) kita ketepikan perbezaan di kalangan kita...yang penting bukan calon itu, tetapi adalah calon yang mewakili UMNO yang bertanding atas tiket BN," katanya.
Beliau bagaimanapun sedar banyak isu politik yang akan dimainkan pembangkang untuk menyerang BN terutama isu-isu terbaharu untuk memusnahkan imej parti.
Ahmad Zahid berkata pengumuman calon dan pelancaran jentera pilihan raya BN untuk Permatang Pauh akan dilakukan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 April ini.
Ditanya berhubung kesediaan Pas Pulau Pinang menyokong calon PKR pada pilihan raya kecil itu, beliau berkata itu adalah permasalahan pembangkang yang harus dijawab oleh mereka. - BERNAMA
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan