Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

06 April 2015

RUU Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dibentang di Dewan Rakyat | Astro Awani

RUU Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dibentang di Dewan Rakyat | Astro Awani

RUU Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dibentang di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dibentang di Dewan Rakyat hari ini yang antara lain termasuk peruntukan bahawa tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas 'kepercayaan politik atau aktiviti politik'.

Rang Undang-Undang (RUU) itu yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan 'kepercayaan politik atau aktiviti politik' ertinya penglibatan dalam aktiviti yang sah di sisi undang-undang melalui pernyataan pendapat atau pengambilan tindakan yang dibuat mengikut rukun sesuatu parti politik yang pada masa yang berkaitan itu berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966.

RUU itu mengadakan peruntukan bagi pencegahan pelakuan atau sokongan bagi perbuatan keganasan melibatkan organisasi pengganas tersenarai di sesuatu negara asing atau di mana-mana bahagian di negara asing serta bagi kawalan terhadap orang yang terlibat dengan perbuatan sedemikian bagi perkara yang berkaitan.

Tindakan telah diambil dan tindakan lanjut diancam oleh sekumpulan besar orang di dalam dan di luar Malaysia yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagian negara, perlu dihentikan dan dicegah, menurut RUU itu.

RUU itu juga menyatakan seorang pegawai polis boleh tanpa waran menangkap mana-mana suspek dan harus merujuk kepada Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan tidak lewat daripada tujuh hari dari tarikh tangkapan.

Kes itu kemudian dibawa di hadapan Majistret, dalam tempoh 24 jam, untuk mendapat perintah reman bagi tempoh 38 hari.

RUU itu juga menyatakan penubuhan Lembaga Pencegahan Keganasan yang terdiri daripada seorang Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan tidak kurang daripada tiga dan tidak lebih daripada enam anggota lain, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tempoh pelantikan tiap-tiap anggota Lembaga itu selama tiga tahun dan layak dilantik semula bagi tempoh tiga tahun lagi.

Menteri Dalam Negeri akan melantik pegawai siasatan untuk menyiasat dan melaporkan secara bertulis kepada Lembaga tentang suspek dan pegawai polis tidak boleh dilantik sebagai pegawai siasatan.

Lembaga boleh dan jika Lembaga berpuas hati demi kepentingan keselamatan Malaysia, mengeluarkan perintah tahanan supaya individu itu ditahan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun di mana-mana tempat tahanan; atau mengeluarkan perintah sekatan mengarahkan individu itu berada di bawah pengawasan polis bagi tempoh lima tahun.

Mereka yang ditahan mengikut perintah sekatan, Lembaga boleh mengarahkan tahanan dipasang peranti pengawasan elektronik.

Peruntukan dalam RUU itu menyatakan Lembaga mempunyai kuasa untuk menyambung perintah tahanan, perintah sekatan atau gantung perintah tahanan.

Lembaga boleh melanjutkan perintah tahanan bagi tempoh dua tahun atau lima tahun bagi bagi perintah sekatan.

Ahmad Zahid juga membentangkan RUU Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015, mewujudkan peruntukan bagi langkah-langkah khas menangani orang yang terlibat dalam pelakuan atau menyokong tindakan keganasan yang melibatkan organisasi pengganas tersenarai di negara asing atau di mana-mana bahagian negara asing dan bagi perkara yang berkaitan.

RUU itu termasuk peruntukan fasa bagi permohonan di luar wilayah, yang akta ini adalah berhubung dengan mana-mana orang,  walau apa pun kerakyatannya, mempunyai kuat kuasa di luar dan juga di dalam Malaysia, dan jika suatu kesalahan di bawah akta ini dilakukan oleh mana-mana orang di mana-mana tempat di luar Malaysia, dia boleh diuruskan dengan kesalahan sedemikian seolah-olah kesalahan itu dilakukan di mana-mana tempat dalam Malaysia.

Untuk tindakan keganasan di negara asing, RUU itu menyatakan langkah-langkah khas di bawah akta itu, hendaklah terpakai bagi mana-mana orang yang membuat perjalanan ke Malaysia atau membuat perjalanan ke luar negeri dari atau melalui Malaysia yang terlibat dalam pelakuan atau sokongan perbuatan keganasan.

Selepas Ahmad Zahid, timbalannya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan lima akta sedia ada untuk pindaan.

Ia adalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012; Akta Pencegahan Jenayah 1959; Akta Penjara 1995; Kanun Keseksaan; dan Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2012).


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate