Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

15 November 2017

PAS selar MAH isu Tudung dilarang dipakai pekerja hotel


Larangan tudung: Hujah MAH disangkal

NAZIRAH NASRUN 14 NOVEMBER 2017




KUALA LUMPUR: Lajnah Pengguna dan Pekerja PAS Pusat membantah sekeras-kerasnya kenyataan Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Cheah Swee Hee bahawa larangan bertudung kepada pekerja muslimah yang diamalkan oleh industri hotel bukan satu amalan diskriminasi.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Zainal Abidin Kidam turut menyelar kenyataan beliau yang menyebut bahawa amalan tersebut merupakan standard operasi perhotelan antarabangsa sebagai satu hujah yang tidak bertanggungjawab.

"Ia dikeluarkan tanpa menghormati hak umat Islam untuk mengamalkan agamanya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negara iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan.

"Persatuan Hotel Malaysia perlu sedar bahawa lebih 65 peratus penduduk negara ini beragama Islam, maka dengan secara langsung industri hotel Malaysia akan menidakkan hak peluang pekerjaan kepada sebahagian besar daripada mereka.

"Memandangkan permintaan pasaran tempatan industri perhotelan juga banyak bergantung kepada pelanggan Islam, adalah wajar perkhidmatan hotel yang disediakan juga perlu patuh syariah seperti mana penyediaan makanan halal," ujar beliau.

Di samping itu Zainal Abidin turut menegaskan keyakinannya dalam sebarang prinsip amalan pengurusan atau Standard OperationProcedure (SOP) yang membezakan pekerja atau pengambilan pekerja atas dasar agama, bangsa atau warna kulit merupakan amalan diskriminasi.

"Justeru pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera terhadap amalan diskriminasi oleh Persatuan Hotel Malaysia tersebut. Mereka perlu sedar bahawa amalan pemakaian tudung dan menutup aurat adalah satu amalan wajib kepada muslimah.

"Larangan amalan tersebut bermakna bahawa Persatuan Hotel Malaysia telah menafikan hak asasi orang Islam di negara ini sepertimana hak bersolat," tegas beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu.

Larangan wanita bertudung bertentangan perlembagaan - JAKIM


15 NOV: Larangan pemakaian tudung bagi wanita Islam yang bekerja di barisan hadapan seperti dibangkitkan Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.


Pada masa sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan sekatan dibuat disesetengah hotel di negara ini sebagai tidak wajar.



Menurutnya, pendirian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah berdasarkan status Islam sebagai agama rasmi di negara ini serta prinsip kebebasan dalam beragama.


“Dalam soal ini, perlu difahami secara jelas bahawa pemakaian tudung dalam Islam adalah kewajipan dan isu ini bersifat menyeluruh yang menjadi sebahagian daripada tuntutan agama,” katanya Selasa.


Asyraf berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat jawatan kuasa di Dewan Rakyat.


Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Khairudin Aman Razali mengemukakan persoalan berkenaan pendirian JAKIM mengenai isu sekatan pemakaian tudung dalam sektor perhotelan.


12 November 2017

Pendulum politik sudah berubah, kini masa kebangkitan semula Gerakan - @Zahid_Hamidi - Utusan Online




AHMAD Zahid Hamidi bersalaman bersama perwakilan yang hadir ketika meninggalkan majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan 2017 di di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SURIYA BONMA




12 November 2017 1:59 PM


KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) - Masa sudah tiba untuk Parti Gerakan dan Barisan Nasional (BN) bangkit semula dan merampas kembali negeri Pulau Pinang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Katanya walaupun pilihan raya umum (PRU) PRU12 dan PRU 13 melihat BN diasak dan diuji dengan hebatnya, ia tidak pernah mengalah, malah telah berjaya memperkasakan jentera-jenteranya untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan lebih bersemangat.

Beliau juga yakin kini pendulum politik tanah air khasnya di Pulau Pinang telah berubah dan PRU14 akan merupakan masa parti-parti komponen BN bangkit semula.

"Pendulum kita akan naik semula. Inilah waktunya. PRU14 inilah kita bangun semula untuk tentukan kemenangan memihak kepada BN. Kecundangan yang dialami Gerakan (pada PRU12 dan PRU13) hanya sementara.

"Saya amat berharap semua calon DUN (Dewan Undangan Negeri) dan kerusi Parlimen Gerakan akan memang dengan cemerlang dalam PRU14 nanti," katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-46 di Menara PGRM di sini, hari ini. - BERNAMA



http://m.utusan.com.my/berita/politik/pendulum-politik-sudah-berubah-kini-masa-kebangkitan-semula-gerakan-ahmad-zahid-1.550580


09 November 2017

Zamihan aset, berjaya pulih pengganas - TPM @Zahid_Hamidi | Berita Harian

Zamihan aset, berjaya pulih pengganas - TPM | Nasional | Berita Harian
Zamihan aset, berjaya pulih pengganas - TPM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, mempertahankan tindakan kerajaan mengekalkan pendakwah Zamihan Mat Zin dalam mengendalikan program pemulihan tahanan militan di Tapah, Perak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, berdasarkan rekod, Zamihan yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) berjaya melakukan pemulihan akidah terhadap umat Islam yang terbabit dalam jenayah keganasan yang berat.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata walaupun tidak lagi dibenarkan berceramah di Selangor, kepakaran Zamihan dalam bidang pemulihan boleh digunakan untuk memulihkan individu yang menjadi pengganas atau yang berpotensi menjadi pengganas atau yang menyumbang kepada dana untuk melakukan keganasan.

Katanya, Zamihan adalah pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang dahulunya dipinjamkan ke Kementerian Dalam Negeri sebagai pegawai yang menyemak penerbitan agama dan kini ditempatkan di penjara sebagai seorang pegawai yang melakukan pemulihan terhadap pengganas dan penjenayah.

"Kita mewujudkan manual dan prosedur operasi standard (SOP) program deradikalisasi dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Arab dan Perancis.

"Ustaz Zamihan adalah seorang pakar pemulihan itu dan mengikut rekod, kejayaan beliau untuk melakukan pemulihan akidah terhadap orang Islam yang terbabit dalam keganasan atau melakukan keganasan berat ini cukup berjaya.

"Ertinya beliau adalah aset untuk memulihkan akidah apatah lagi dalam mengembalikan kumpulan itu ke jalan yang benar dari segi agama, dan saya tidak fikir beliau harus dihukum dengan jawatan yang diberikan Jabatan Penjara itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama Hari Inovasi Huawei Asia Pasifik (APIC) 2017 di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya yang mempertikaikan tindakan Putrajaya membiarkan Zamihan yang diharamkan memberi kuliah di Selangor mengendalikan program pemulihan tahanan militan Daesh di Tapah.

Latheefa dilaporkan berkata, pandangan ekstremis Zamihan sudah diketahui umum daripada isu dobi untuk Muslim saja sehingga mengkritik surau di Pulau Pinang kerana membenarkan mangsa banjir bukan Islam berlindung.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/348619/zamihan-aset-berjaya-pulih-pengganas-tpm

Sent from my iPhone

04 November 2017

TPM @Zahid_Hamidi : Tentera siber UMNO perlu segera tepis fitnah pembangkang | BNBBC

Tentera siber UMNO perlu segera tepis fitnah pembangkang | BNBBC - Laman Rasmi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Malaysia

Tentera Siber UMNO Perlu Segera Tepis Fitnah Pembangkang

4 NOV: Tentera siber UMNO perlu bergerak lebih pantas menangkis persepsi negatif yang menjurus kepada pembunuhan karakter pemimpin yang kini giat dijalankan oleh pakatan pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang persepsi negatif yang timbul harus diuruskan dengan segera kerana jika ia tidak diatasi dengan baik tidak mustahil seorang pemimpin atau kerajaan boleh dijatuhkan.

"Cuba kita lihat berapa ramai pemimpin, kerajaan dan parti politik yang tenggelam kerana persepsi yang tidak diuruskan dengan baik.

"Jika persepsi tidak diatasi dengan segera dan hanya dijawab tiga atau empat bulan kemudian, lihat sahaja apa yang telah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga lakukan terhadap PAS apabila dia tuduh PAS terima wang RM90 juta daripada Perdana Menteri dan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB)," katanya ketika berucap dalam Konvensyen Media Sosial UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu berkata, pembangkang dilihat semakin menjadi-jadi bukan hanya mempersoal dasar dan pentadbiran parti pemerintah.

Tambahnya budaya jelik dan buruk itu berkembang dalam masyarakat apabila berita palsu seolah-olah dapat diterima dengan mudah.

Sehubungan itu Ahmad Zahid turut mengingatkan tentera siber UMNO agar memastikan rakyat merasai keberadaan tentera ini sebagai wira Barisan Nasional apabila segera menepis fitnah-fitnah yang ditabur pembangkang.

"Malaysia terjebak sebagai antara negara tertinggi di dunia mempunyai peratusan penduduk yang aktif dalam media sosial, membabitkan 62 peratus daripada populasi.

"Ia memberi kesan terhadap pola pemikiran rakyat yang memerlukan usaha lebih proaktif untuk menangani persepsi secara intelektual, pendekatan psikologi dan cita rasa yang disesuaikan dengan kumpulan sasar," katanya lagi.

Dalam dunia yang semakin berubah kata Ahmad Zahid sistem komunikasi konvensional turut beralih daripada komunikasi bersemuka dan lisan kepada komunikasi tanpa lisan.

"Persepsi yang wujud harus diurus dengan baik dan mustahil dengan sistem komunikasi konvensional iaitu lisan atau bersemuka dapat menanganinya dengan baik.

"Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO adalah wira yang sentiasa berada di garisan hadapan untuk menguruskan persepsi kerana pendapat umum atau 'mahkamah pendapat umum' lebih berkuasa daripada mahkamah biasa," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kegagalan menangani persepsi menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tenggelam pada dua PRU lalu yang akhirnya terpahat sebagai sejarah negara.

"Kita mahu pada PRU-14 kali ini apabila Perdana Menteri memberikan bajet terbaik, semua aspek diambil kira dari segi keterangkuman, apabila seluruh jentera diintegrasi dengan sebaik-baiknya, kita akan memberikan hadiah kemenangan dengan majoriti dua pertiga, Insya-Allah.

"Allah menguji kita dua kali, ujian ini adalah ujian terakhir untuk kita. Jika kita gagal kali ini, lupakan segala-galanya," katanya.

Konvensyen Media Sosial UMNO bertujuan memberi penerangan mengenai kepentingan, etika media sosial dan gerak kerja yang lebih berkesan kepada penggiat media sosial UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau turut melahirkan kekagumannya dengan sambutan luar biasa yang diterima oleh penggiat media sosial terdiri daripada Biro IT UMNO.

Sehubungan itu beliau melahirkan keyakinan dengan kerjasama padu yang diberikan oleh tentera siber UMNO ini mampu beri kemenangan 2/3 pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Jika kita gagal kali ini lupakan segala-galanya.

"Namun saya yakin intergrasi kita lakukan dengan sebaiknya untuk menjawab semua isu dengan bersepadu dan kita akan capai kejayaan yang sebenarnya," ujarnya lagi.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Biro Teknologi Maklumat (IT), Datuk Ahmad Maslan dalam ucapannya memaklumkan telah menubuh beberapa kumpulan Whatsapp dalam usahanya merancakkan lagi gerak kerja media sosial menjelang PRU14.


https://www.bnbbc.my/tentera-siber-umno-perlu-segera-tepis-fitnah/


Sent from my iPhone

Cari Blog Ini

Translate