Pengikut Blog Panglima

04 Julai 2018

Pendakwaan oleh Tommy Thomas terhadap Najib Razak: Langkah mula yang tempang

Pendakwaan oleh Tommy Thomas terhadap Najib Razak: Langkah mula yang tempang - Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb

Pendakwaan oleh Tommy Thomas terhadap Najib Razak: Langkah mula yang tempang



DALAM mengikuti laporan berkenaan prosiding pendakwaan terhadap Najib Razak di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, saya tertarik dengan satu insiden yang berlaku.

Harian Metro melaporkan seperti berikut: "Terdahulu Peguam Negara Tommy Thomas memohon prosiding dijalankan dalam bahasa Inggeris dan mengemukakan keizinan mendakwa mengikut Seksyen 58 Akta SPRM. Kesemua tuduhan BAGAIMANAPUN dibacakan dalam bahasa Malaysia (sic)." [1]

Persoalan yang timbul di benak saya ialah sama ada permohonan untuk menjalankan prosiding dalam bahasa Inggeris oleh Tommy Thomas itu telah ditolak oleh Mahkamah? Kerana walaupun dipohon, tetapi kertas pertuduhan tetap dibacakan dalam bahasa Melayu.

Saya tidak pasti dan saya tidak ada jawapannya, kerana saya hanya mengikuti prosiding mengikut apa yang dilaporkan sahaja. Tetapi apa yang ingin saya bangkitkan di sini ialah perkara ini sebenarnya boleh dijadikan sebagai senjata oleh barisan peguambela yang mewakili Najib Razak, untuk berhadapan dengan Peguam Negara Tommy Thomas.

Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, memperuntukkan bahawa bahasa Mahkamah ialah bahasa Melayu, dan semua prosiding di Mahkamah adalah diwajibkan untuk dijalankan dalam bahasa Melayu, melainkan jika kepentingan keadilan memerlukan sebaliknya. Dengan kata lain, penggunaan bahasa Inggeris dibenarkan sebagai pengecualian, tetapi hanya jika "kepentingan keadilan" memerlukannya. [2]

Bagi kes-kes jenayah, "kepentingan keadilan" di sini perlu dibaca sebagai bermaksud keutamaan mesti diberikan kepada pilihan bahasa Orang Kena Tuduh (OKT — dalam kes ini, Najib Razak), sebab dia yg dibicarakan. Jika dia bertegas mahukan prosiding dijalankan dalam bahasa kebangsaan, maka di sisi undang-undang, prosiding mesti dijalankan dalam bahasa kebangsaan.

Pengecualian hanya boleh diberikan kepada para saksi yang mungkin tidak fasih dalam bahasa kebangsaan, untuk menjawab soalan dalam mana-mana bahasa sekalipun, dengan bantuan penterjemah yang menterjemahkannya ke dalam bahasa kebangsaan. Tetapi bagi proses lainnya, ia mesti dijalankan dalam bahasa kebangsaan.

Umum mengetahui bahawa Tommy Thomas sememangnya tidak fasih berbahasa kebangsaan. [3] Bahkan perkara ini telah dibangkitkan oleh ramai pihak ketika namanya disebut-sebut untuk dilantik sebagai Peguam Negara — bagaimana mungkin seorang peguam negara dilantik dari kalangan mereka yang tidak fasih berbahasa rasmi Mahkamah?

Umpamanya seperti doktor pakar bedah yang diberikan tauliah tetapi takutkan darah (bagaimana hendak melaksanakan pembedahan dengan baik?), atau juruterbang yang takutkan ketinggian (bagaimana hendak mengendalikan pesawat terbang?).

Sebagai peguam negara, Tommy Thomas tidak boleh menggunakan alasan ketidak-fasihannya berbahasa Melayu untuk memohon prosiding dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Ini kerana undang-undang mempunyai tanggapan bahawa barangsiapa yang telah dilantik sebagai peguambela & peguamcara, apatah lagi Peguam Negara, dia mesti dan wajib memiliki kefasihan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa Mahkamah. Seksyen 11(2) Akta Profesyen Undang-Undang 1976 malahan dengan jelas memperuntukkan: "tiada seseorang pun berkelayakan boleh diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara melainkan, sebagai tambahan pada memenuhi kehendak subseksyen (1), dia telah lulus atau dikecualikan daripada Peperiksaan Kelayakan Bahasa Malaysia (sic)."

Justeru bayangkan jika barisan peguam Najib Razak berkeras bahawa prosiding mesti dijalankan dalam bahasa kebangsaan (kecuali pemberian keterangan oleh saksi), tentulah Tommy Thomas akan tonggang-terbalik hendak berhujah menjalankan pendakwaan terhadap Najib Razak dalam bahasa yang dia tidak fasih. Apakah pendakwaan dapat dijalankan dengan efektif, jika itu berlaku?

Sebab itulah, dari awal-awal lagi, orang dah ingatkan, JANGAN, JANGAN, JANGAN, lantik peguam negara yang tidak fasih berbahasa rasmi Mahkamah!

[1] https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/354445/update-empat-pertuduhan-dibacakan

[2] https://www.facebook.com/aidilbinkhalid/posts/10212929361169197

[3] http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2018/06/06/i-promise-to-brush-up-on-my-malay-says-tommy/

*Nota: Saya tidak berniat membela Najib Razak, bahkan bersyukur beliau akhirnya dihadapkan ke muka pengadilan.

Aidil Khalid
Aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.



Dihantar daripada iPhone XMZ saya


Dihantar daripada iPhone saya
Catat Ulasan