Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

29 Januari 2014

ARTIKEL PILIHAN - PERLUKAH DIHARAMKAN TALANG KERANA AEDES?



BARU-BARU INI Kementerian Kesihatan mencadangkan semua projek perumahan baharu dilarang dibina talang sebagai usaha mencegah saluran air di atas bumbung itu menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, talang merupakan salah satu tempat pembiakan nyamuk aedes tetapi sering terlepas pandang oleh banyak pihak kerana kedudukannya yang tersorok atau sukar dicapai.

Menurutnya lagi, tidak hairan kenapa begitu banyak kempen pencegahan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan sekitar tidak mencapai objektif berikutan masih ada lokasi pembiakan aedes yang tidak dihapuskan atau terlepas pandang.

Disebabkan itu beliau menggesa agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya mewajibkan pemaju tidak lagi memasang talang di projek perumahan baharu bagi mengelak menjadi sarang pembiakan aedes dan bagi kediaman lama pula, enakmen yang sedia ada sekarang perlu dipinda bagi membolehkan talang dibuka untuk tujuan serupa.

Terkesima sebentar apabila saya membaca kenyataan itu. Bagi saya seolah-olah kita mencadangkan pengharaman kenderaan kerana berlaku banyak kemalangan yang meragut nyawa. Atau seperti mengharamkan Internet kerana berlaku fitnah yang berleluasa.

Di manakah rasional pemikiran begini?Saya rasa para pengurusan tertinggi negara janganlah cepat melatah dan mencari resolusi seperti kanak-kanak hingusan di tadika, cepat menuding jari atas sesuatu kegagalan.

Kita harus berfikir dengan menggunakan akal bukan bertindak dengan emosi. Saya rasa ramai di antara kita apatah lagi menteri sendiri, yang tidak mengetahui akan kepentingan talang atau gutter ini.

Fungsinya ialah untuk mengalirkan air hujan ke satu tempat supaya ia boleh dikumpulkan untuk kegunaan akan datang atau dikenali sebagai SPAH.

SPAH ialah Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan di mana air hujan dikumpulkan daripada bumbung dan kemudiannya disalurkan ke tangki penyimpanan air hujan sebelum digunakan.

Cara mengumpul air hujan yang mudah ialah dengan melibatkan alur mengelilingi bumbung dengan paip turun membawa air hujan ke tangki simpanan yang dipasangkan dengan saluran mengeluarkan air berlebihan.

Sudah banyak negara mewajibkan sistem SPAH kerana impaknya cukup besar untuk sesebuah negara. Antara negara tersebut ialah, Bermuda di laut Caribean, China, India, Australia dan juga Brazil.

Ironinya, pemasangan SPAH di bangunan mahupun rumah kediaman akan dapat mengurangkan permintaan bekalan air awam.

Daripada penyelidikan yang dilakukan oleh NAHRIM - Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar, kualiti air hujan adalah dalam kelas IIB dan amat sesuai untuk penggunaan rekreasi dengan sentuhan badan. Antara kepentingan SPAH ia akan dapat membantu membekalkan air jika terdapat krisis bekalan air awam. SPAH juga dapat mengurangkan air larian permukaan (surfacerunoff) daripada memasuki sistem saliran awam. Secara tidak langsung dapat mengelakkan dari berlakunya banjir kilat.

Dan yang paling penting dengan sistem SPAH ini, pihak berkuasa bekalan air dapat menjimatkan operasi pemprosesan air di loji-loji air, sekali gus dapat menjimatkan tenaga elektrik dan meningkatkan kecekapan tenaga negara.

Ramai antara kita tidak terfikir negara ini boleh mengalami kekurangan air kerana sememangnya negara kita menerima bekalan air hujan yang amat lebat dan air rawatan dapat pula dibekalkan ke rumah, kedai dan pejabat dengan kadar yang cukup murah.

Namun apabila krisis bekalan air terjadi, barulah kita nak tengadah seperti yang terjadi di Selangor pada tahun 2012. Satu cara terbaik untuk memastikan masalah pembekalan air sentiasa terjamin ialah dengan menggunakan air hujan dengan mengumpulkannya untuk kegunaan harian.

Hakikatnya pengumpulan air hujan bukan satu perkara baru di Malaysia. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengeluarkan garis panduan untuk SPAH selepas krisis air 1998, untuk menampung sebarang kekurangan bekalan air dan sebagai penampan semasa krisis air.

Buat mereka yang mencipta polisi kerajaan, jangan marahkan nyamuk, kelambu pula dibakar. Jangan marahkan aedes talang pula nak dimusnahkan.

Bertindak biar rasional, meminta biar sesuai dengan realiti.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri, merupakan Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM), Universiti Utara Malaysia.



Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate