Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

29 Januari 2014

Tiada Kompromi, PKPP Tidak Akan Ditangguh - @Zahid_Hamidi



JOHOR BAHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang meminta supaya Prosedur Operasi Standard (SOP) Program Khas Penyelarasan Pendatang Tanpa Izin (PKPP) dikaji semula dan ditangguhkan pelaksanaannya.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sudah memberi tempoh dan ruang secukupnya kepada majikan dan pekerja sejak 11 Julai 2011.

"Walaupun ada permintaan operasi ini ditangguhkan, bagi kami tidak ada penangguhan kerana masa yang secukupnya telah diberikan kepada majikan dan para pekerja untuk memohon dokumen-dokumen yang sah," katanya kepada pemberita selepas memantau Op Bersepadu 6P ke atas rumah pekerja asing di tapak pembinaan Bandar Datuk Onn di sini malam Isnin.

Menurut beliau, sejak PKPP dilancarkan serentak seluruh negara 20 Jan lalu, 8,000 Pati menjalani proses penyaringan.

Daripada jumlah itu, 2,200 ditahan menjadikan jumlah keseluruhan tahanan membabitkan operasi tahap satu dan dua adalah 14,200 manakala 3,000 orang sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Ahmad Zahid berkata KDN mengambil langkah proaktif untuk tidak menahan Pati di depoh tahanan terlalu lama sebaliknya menghantar mereka pulang ke negara asal setelah selesai proses pengambilan biometrik.

Sementara itu, 500 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Ikatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyertai operasi itu.

Pengarah Imigresen Johor, Rohaizi Bahari berkata dalam operasi itu pihaknya menemui menara peninjau yang dibina pekerja asing dan diawasi secara bergilir-gilir bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

"Semasa serbuan dilakukan pengawal Pati di menara itu telah melepaskan bunyi mercun dan memukul gendang sebagai isyarat kehadiran anggota penguat kuasa.

"Namun begitu hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap 406 pekerja asing yang terdiri daripada warga Indonesia, Vietnam, Myanmar, Nepal dan Bangladesh, seramai 35 orang telah ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Beliau berkata semua Pati yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 itu dihantar ke depoh Pekan Nenas untuk tindakan lanjut. -BERNAMA



Gambar Menteri KDN DS Ahmad Zahid Hamidi menyertai operasi banteras PATI :








Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate