Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

15 Julai 2018

Penderhakaan kepada rakyat jika UEC diiktiraf - Nasional - Utusan Online

Penderhakaan kepada rakyat jika UEC diiktiraf - Nasional - Utusan Online

Penderhakaan kepada rakyat jika UEC diiktiraf

Teo Kok Seong

Sejauh manakah Prof melihat sistem UEC?

KOK SEONG: Apa yang saya perhatikan UEC memberi kesan terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana calon-calon­nya akan merampas peluang pelajar lain yang mengikuti sistem pendidikan sedia ada, khususnya pelajar berketurunan Cina.

Ini kerana sistem kuota masih terpakai dalam kes-kes tertentu walaupun meritokrasi merupakan amalan stan­dard dalam pengambilan pelajar. Ia perlu diguna pakai untuk mengelak sesuatu kursus itu dipenuhi satu kaum sahaja akibat meritokrasi bebas.

Secara umumnya calon UEC juga akan menjejaskan peluang pelajar Cina yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Pada saya, biarlah UEC terus kekal di atas paksi sedia ada tanpa wujud dalam Dasar Pendi­dikan Kebangsaan.

UEC diasaskan berdasarkan sistem pendidikan di Taiwan. Sehubungan itu,adakah UEC juga boleh memberi kesan kepada Bahasa Melayu dan dilihat sebagai menentang Dasar Pendidikan Kebangsaan?

Apa-apa jenis persekolahan yang tidak berada dalam sistem pendidikan negara perlu dianggap sebagai tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang antaranya mengangkat Bahasa Melayu bahasa pengantar utama.

Dalam hal ini, UEC dikendalikan dalam bahasa lain dan tidak mengikuti silibus Kementerian Pendidikan.

Ini jelas berada di luar sistem pendidikan negara. Sebenarnya semua sekolah mene­ngah atau sekolah tinggi persendirian Cina di negara ini telah diberi peluang untuk menyertai sistem pendidikan kebangsaan sewaktu kita mencapai kemerdekaan. Dalam hal ini, ada yang menyertainya dan ada yang tidak menyertainya de­ngan menjadi sekolah persendirian Cina yang menawarkan UEC.

Adakah permintaan Dong Zong yang mahu kerajaan mengiktiraf UEC boleh dikatakan sebagai rasis dan menolak sistem perpa­duan serta menentang Gagasan 1Malaysia?

Ia tidak boleh dikatakan rasis. Cuma persoalannya kini ialah mengapa sekolah persendirian Cina mahu berada dalam sistem pendidikan di peringkat atas ia­itu hanya peringkat pendidikan tinggi? Ini jelas memperlihatkan sikap rakus dan mahu untung dalam semua hal.

Jika dilihat kembali pendidikan aliran Cina sebenar­nya te­lah bermula di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) seterus­nya ke sekolah tinggi persendirian Cina di peringkat menengah.

Ia dibuat supaya pelajar dapat terus belajar dalam bahasa berkenaan walaupun mahu ke universiti awam (UA) melanjutkan pendidikan tinggi. Inilah yang dikatakan rakus dan mahu meraih keuntu­ngan pada semua peringkat dan setiap masa.

Apakah kesannya jika UEC diiktiraf dalam sistem pendidikan negara?

Pertama sekali pada saya ia sa­ngat tidak adil kepada pelajar yang cekal dan tabah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan. Jangan khianati golongan seperti ini.

Keduanya, pengiktirafan UEC akan mewujudkan contoh terdahulu seperti peperiksaan lain G.C.E A Level yang telah me­nerima desakan serupa. Maka kemungkinan akan ada lagi desakan lain demi kepentingan pihak tertentu.

Di samping itu, jika kerajaan mengiktiraf sesuatu perkara yang tiada dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan ia boleh di ibarat seperti 'menyusu kera di hutan, anak sendiri kelaparan'. Ini tidak adil kepada mereka yang bergelumang dengan sistem yang telah dicemuh banyak pihak sebelum ini. Dalam erti kata lain, jika UEC diiktiraf ia umpama satu bentuk penderhakaan kepada rakyat.

Apakah harapan Prof. dalam memajukan Dasar Pendidikan Kebangsaan?

Sesungguhnya, sistem pendidikan sedia ada tidak mempunyai cacat celanya. Malah ia telah ditambah baik, sama ada untuk pendidikan rendah, menengah dan pendidikan tinggi. Kita harus percaya dan yakin kepada sistem pendidikan kebangsaan yang kita bangunkan sendiri dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama harus menerima keyakinan daripada rakyat dengan kemampuannya dalam memajukan negara.

Saya berharap Bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa ilmu, manakala Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa tidak kurang penting sebagai jambatan ilmu. Inilah sebaik-baik perimbangan untuk terus melindungi martabat bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita.



Dihantar daripada iPhone saya

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate