Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Izelan Basar berkata, pendekatan baharu itu diharap dapat menambat hati penonton terutamanya golongan muda di negara ini.

“Program ini akan mencungkil maksud peribahasa Melayu dan pada masa yang sama menggunakan elemen komedi dan dakwah santai yang digemari oleh masyarakat terutamanya golongan belia.

“Pendekatan seperti ini bukan sahaja memartabatkan peribahasa Melayu malah para penonton akan mendapat manfaat dalam kehidupan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Anugerah International Sdn. Bhd. itu diserikan dengan kehadiran pakar motivasi, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat selaku pengacara bagi rancangan 17 episod itu.

Kata Syamsul, beliau teruja dengan program baharu tersebut sambil menyifatkan para penonton akan mendapat pelbagai iktibar daripada setiap maksud peribahasa yang diutarakan.

“Ia satu kejutan budaya untuk mengendalikan program seperti ini di TV AlHijrah dan sememangnya cabaran untuk saya sendiri memahami pelbagai peribahasa yang akan diketengahkan dalam program itu nanti.

“Saya percaya penonton akan dapat menimba banyak ilmu melalui peribahasa yang jarang digunakan selama ini dan diharap ramai yang akan menontonnya nanti,” katanya. - UTUSAN ONLINE